Assalamualaikum

Kali ni nak kongsi sikit beberapa info berkaitan dengan Foodpanda. Anda semua pun tahu kan pasal Foodpanda ni. Mungkin ada yang tak tahu dan saya percaya ramai yang dah tahu lebih-lebih lagi pasal isu yang menjadi berita dan bahan bual berkenaan Foodpanda ni. Kadang-kadang saya guna perkhidmatan Foodpanda ini bila saya rasa perlu sahaja. Jom lihat sedikit sebanyak info berkenaan perkhidmatan yang sempat saya share pada pembaca. Semoga bermanfaat.

Sedikit latar belakang Foodpanda


Foodpanda adalah sebuah pasaran penghantaran makanan. Ibu pejabatnya terletak di Berlin, Jerman. Ia telah beroperasi dalam 40 buah negara termasuk Malaysia. Melalui aplikasi Foodpanda, pelanggan boleh memesan makanan dari restoran dan menikmati pelbagai jenis makanan hanya melalui hujung jari anda. Makanan yang anda pesan akan dihantar ke rumah anda. Terdapat lebih daripada 27 ribu restoran di lebih 190 buah bandar yang telah berkongsi khidmat dengan Foodpanda. Foodpanda telah menerima jumlah pesanan setakat ini melebihi 15 ribu.



Pengasas Foodpanda adalah Ralf Wenzel, Rohit Chadda, Ben Bauer, Felix Plog dan diasaskan pada tahun 2012. Foodpanda memasuki Malaysia pada tahun yang sama iaitu 2012. Pengarah urusan Foodpanda di Malaysia adalah Sayantan Das. Menurut Sayanthan, Foodpanda Malaysia telah bekerja lebih daripada 1600 restoran di Pelabuhan Klang, Pulau Pinang dan Johor. Pada tahun 2012, Foodpanda tidak banyak dikenali oleh warganegara tetapi kemungkinan sesetengah daripada kita pernah ternampak sticker yang menjalar di kebanyakan jalan dan lebuhraya. Bagi saya pula, saya hanya menyedari kehadiran Foodpanda di Malaysia agak lewat iaitu pada tahun 2018. Selepas ternampak sticker yang melambangkan seekor haiwan dalam background berwarna merah jambu, saya terus berminat mencari perkhidmatan apakah ini.




Pakaian rider Foodpanda berwarna merah jambu separuh dibahagian atas dan diikuti dengan warna kelabu atau putih di bahagian bawah. Kotak menyimpan makanan semasa penghantaran berwarna merah jambu dengan lambang panda dan berbentuk petak.

Makanan dihantar menggunakan motorsikal sama seperti perkhidmatan penghataran yang lain. Kenderaan ini menjadi pilihan agar penghantaran menepati masa yang telah ditetapkan.

Aplikasi Foodpanda


Untuk mendapatkan aplikasinya, anda boleh download di Google Play Store. Bagi saya aplikasinya mudah digunakan dan mudah difahami. Mula-mula sekali anda perlu berdaftar dengan mengisi butir-butir maklumat yang diperlukan dalam aplikasi tu, jadi Foodpanda dapat mengenali anda. Lepas daftar, anda akan ada profile anda sendiri.

Kemudian anda perlu setkan alamat rumah anda atau alamat yang mana anda rasa anda akan selalu memesan makanan dan dihantar kepada alamat tersebut. Bagi saya, saya dah set 2 alamat iaitu yang pertama alamat rumah dan kedua alamat tempat kerja. Tetapi jika anda tidak mahu set alamat, anda boleh guna "current location" , jadi makanan akan dihantar pada lokasi di mana anda berada pada waktu pesanan dibuat. Pastikan GPS dalam phone di ON kan.

Lokasi penghantaran


Setiap restoran yang berdaftar dengan Foodpanda mempunyai had jarak jauh penghantaran masing-masing. Contoh jika anda sedang berada di Kuala Lumpur, anda akan dapati banyak restoran yang boleh anda membuat pesanan. Saya pernah cuba sekali, semasa saya berada di salah satu ceruk kota Kuala Lumpur, sejumlah kalau tak silap 113 restoran yang boleh saya pesan makanan. Maklumlah, KL kan banyak restoran. Kalau anda berada pada mana-mana kawasan pedalaman, anda akan dapati sangat sedikit restoran yang boleh anda pesan. Ia bergantung kepada lokasi yang anda berada. Kadang-kadang dalam satu kawasan tu langsung tak ada restoran yang boleh anda pesan melalui perkhidmatan ini.

Saya lihat semakin lama semakin banyak restoran yang berdaftar dengan Foodpanda. Contohnya di kawasan rumah saya sendiri, pada mulanya dulu hanya 3 buah restoran tetapi sekarang dah 13. Jadi, pelbagai jenis makanan yang boleh saya order. Cuma saya sarankan sebelum memesan makanan, pastikan restoran itu menyediakan makanan yang halal. Itu adalah point yang pertama saya periksa sebelum saya order. Selepas itu baru saya pertimbangkan harga.

Harga makanan yang dipesan melalui Foodpanda


Saya dah banyak kali dah pesan makanan melalui Foodpanda. Kadang-kadang pesanan yang saya buat tu sebab saja nak tengok bagaimana perkhidmatannya dari segi aplikasi dan penghantaran. Saya tengok penghantarannya ok, setakat ni tak pernah lewat pun. Rider sampai kat rumah lebih awal dari masa yang diperuntukkan. Itu adalah apa yang saya nampak, saya tak tahu pelanggan Foodpanda yang lain.

Apa yang saya lihat harga yang dipesan melalui perkhidmatan ini adalah lebih mahal daripada harga sebenar. Itu belum termasuk yuran penghantaran yang rata-ratanya RM3.99. Contoh, harga makanan sebenar adalah RM5.00 tetapi jika dipesan melalui perkhidmatan ini, harga menjadi lebih kurang RM7.30 tidak termasuk yuran penghantaran RM3.99. Jadi anda perlu bayar RM7.30 + 3.99 = RM11.29. Contoh lain adalah jika anda memesan makanan dengan harga sebenar RM10.00, harga dalam pesanan adalah RM13.50 tidak termasuk yuran hantaran. Jadi jumlah yang perlu anda bayar = RM13.50 + RM3.99 = RM17.49. Bayaran dilakukan melalui pelbagai cara iaitu tunai, online banking dan melalui kad debit.

Jika anda telah membuat pesanan dan pesanan anda dibatalkan oleh restoran, maka anda akan menerima semula duit anda tetapi ia mengambil masa selama 2 hingga 5 hari bekerja. Saya pernah sekali dibatalkan pesanan. Pesanan dibatalkan kerana saya memesan pada ketika restoran itu mahu tutup. Ia berlaku pada hari Jumaat dan saya mendapat semula duit pada Jumaat depan. Jika anda ada apa-apa komen, anda boleh email kepada pihak Foodpanda. Saya telah menghantar email kepada pihak Foodpanda kerana masih belum terima wang pulangan dan dalam beberapa minit saya menerima email maklum balas dari mereka. Sungguh cepat mereka balas. 

Waktu sesuai menggunakan perkhidmatan Foodpanda
Bagi saya waktu yang paling sesuai untuk menggunakan perkhidmatan ini adalah apabila kita tidak dapat keluar membeli makanan dan pada masa yang sama tidak masak sendiri di rumah. Perut pulak lapar. Kadang-kadang kita terlalu penat untuk masak dan malas/letih pulak nak keluar beli makanan. Masa inilah sesuai guna perkhidmatan ini. Cuma anda kena lebihkan keluar duit, maklumlah makanan sampai depan mata, jadi kena keluar duit lebih. Tetapi jika anda boleh keluar, lebih baik keluar beli sendiri atau senang waktu tu kebetulan ada bahan masak, ada mood masak pulak, baik masak saja.

Kelebihan dan keburukan menggunakan perkhidmatan Foodpanda
Saya senaraikan kelebihan dan keburukan untuk info anda.

Kebaikan :
  • Tak perlu susah-susah keluar rumah. Duduk saja santai kat rumah, sambil tunggu, boleh rilek jap tengok TV ke, solat ke, baca Quran ke, baca buku ke. Nanti tup tup dah sampai depan rumah. Kalau ada bunyi hon motor tu, dah sampai le tu.
  • Anda mempunyai masa untuk buat kerja lain sementara tunggu pesanan tiba.
  • Anda jimat duit minyak kenderaan.
  • Tidak risau pasal makanan bagi orang yang tinggal di rumah sepanjang anda di luar rumah. Sebagai contoh jika anda mahu keluar dengan suami/isteri tetapi anak tidak ikut serta. Nak masak tak sempat dah, anak pulak tak pandai masak apatah lagi keluar pergi restoran membeli makanan. Jadi sebelum anda keluar rumah, pesan dulu makanan. Bila makanan dah sampai, boleh mulakan perjalanan anda.
  • Memberi peluang kepada mereka untuk memperolehi lebih wang melalui kerja part time dengan Foodpanda.

Keburukan :
  • Harga lebih mahal dari harga biasa. Anda perlu keluar lebih wang.
  • Anda tidak tahu kualiti dan rasa makanan yang anda pesan lebih-lebih lagi yang pertama kali pesan. Sebagai contoh, anda berminat dengan satu makanan tertentu tapi tak pernah pesan dan pula tak pernah pesan dari restoran tu. Bila makanan sampai dan anda rasa, dah tak sedap. Buang begitu saja. Dah bazir duit dan makanan. Ataupun bagi kat jiran sebelah. Jiran pulak rasa tak sedap, buang juga. Sama je.
  • Kadang-kadang ada restoran yang kita ragui status halalnya.
  • Terpaksa tunggu makanan lambat sampai. Kebiasaan 30 minit tetapi kadang-kadang ada masalah sedikit. Tidak pasti masalah apa sehinggakan makanan sampai 45 minit.
  • Makanan yang diterima adalah diluar jangkauan anda. Saya pernah kena sekali di mana saya telah memesan chicken chop dengan harga yang lebih tinggi iaitu RM18 lebih di mana harga asalnya adalah RM10.00 je. Ia mahal kerana restoran itu kenakan bayaran ke atas kuah blackpepper yang saya fikir takkan kuah pun kena cas. Apabila tiba rumah, makanan yang diterima di luar jangkauan iaitu ayam nya kecil, kentang goreng nya sedikit dan penyediaan yag tidak menarik. Bagi saya ia tidak berbaloi dengan harga. Saya tak kata semua restoran begitu, mungkin restoran ini saja yang membuat kesilapan yang menyebabkan saya tidak lagi order di restoran tersebut.

Isu yang berlaku baru-baru ni


Baru-baru ni heboh isu berkenaan cara pekerja dibayar. Pekerja di sini ditujukan kepada rider nya. Sebelum ini, rider dibayar mengikut jam. Pada ketika ini, tiada sebarang isu yang muncul. Ramai anak-anak muda mendaftarkan diri bekerja sebagai rider Foodpanda dan mereka beroleh hasil/gaji mengikut jam bekerja. Ini adalah sistem penggajian lama.

Sistem penggajian baru telah mengambil alih kemudiannya dan ia bermula pada 30-Sept-2019 yang menghapuskan bayaran mengikut jam . Ia menimbulkan banyak rasa tidak puas hati dikalangan rider. Dalam sistem penggajian yang baru ini, rider dibayar bukan lagi mengikut jam bekerja tetapi mengikut jumlah pesanan. Jadi melalui sistem penggajian baru ini, rider akan memperolehi gaji yang kurang berbanding dalam sistem penggajian yang lama. Apa yang saya tahu, sistem penggajian baru ni bukannya dilaksanakan serentak seluruh negeri di Malaysia. Jika tidak silap saya, ia bermula dengan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Pada masa bermulanya sistem penggajian baru, Kuala Lumpur dan Selangor masih dalam sistem penggajian lama.



Rider Foodpanda melahirkan rasa tidak puas hati dengan mengadakan mogok selama 3 hari. Dilaporkan mogok juga berlaku di Pulau Pinang. Pada pendapat mereka, sistem penggajian baru tidak adil dan dikatakan menindas rider.


Kain rentang digunakan membawa mesej ketidakpuasan hati.

"Kami sanggup berhujan panas demi menggantar pesanan pelanggan"
"Kami sanggup hadapi risiko jalan raya"
"Kami rela dimarahi kerana lambat"

Itu adalah apa yang tertulis di kain rentang. Jom kita lihat bagaimana perbezaan dalam sistem penggajian lama dan baru.

Dalam sistem penggajian lama, rider akan mendapat :
Bayaran asas (RM4/jam) + Insentif pesanan (RM3-5/pesanan) mengikut batch.

Mesti anda tak tahukan batch ape pulak tu. Ada 5 batch, yang paling rendah 5 dan yang paling tinggi adalah 1 level otai punyai. Dua perkara yang menentukan batch iaitu prestasi dan masa perkhidmatan.

Contoh kiraan gaji macam ni:
Jika rider adalah batch 1 (RM4/jam) dan dalam 1 hari bekerja 5 jam. Jadi, bayaran asas adalah :
Bayaran asas = RM4 x 5 = RM20.

Jika dalam 1 hari tu ada 5 pesanan (RM5/pesanan), maka bayaran untuk insentif pesanan adalah :
Insentif pesanan = RM5 x 5 = RM25.

Maka jumlah gaji pada 1 hari itu adalah RM 20 + RM25 = RM45.
Jika kekalkan dalam seminggu maka jumlah yang diterima = RM45 x 7 = RM315
Itu jika dalam satu hari ada 5 pesanan, kalau lebih, lebih banyak gaji diperolehi.
Itu batch 1 ya, belum batch 5 yang gajinya lebih kecil.

Dalam sistem penggajian baru, rider tidak lagi mendapat bayaran asas tetapi insentif pesanan dikekalkan dengan bayaran yang lebih tinggi. Dalam sistem penggajian lama, bayaran adalah RM3-5/pesanan tetapi dalam penggajian baru, bayaran adalah RM4.50-7/pesanan. Foodpanda juga menawarkan bayaran bonus RM100 setiap minggu dengan syarat bekerja 60 jam dalam seminggu iaitu dalam purata 8.5 jam dalam sehari. Jika bekerja jam 11 malam hingga 9 pagi, Foodpanda akan menawarkan bonus RM1/pesanan.

Ok, sekarang kita kira berapa rider dapat dalam sehari mengikut sistem penggajian baru dan katakan rider bekerja 5 jam (sama seperti contoh dalam sistem gaji lama). Jika rider batch 1 dan jika jumlah pesanan dalam 1 hari tu adalah 5, maka dalam 1 hari rider akan dapat :

Insentif pesanan = RM7 x 5 = RM35 (Dalam sistem penggajian lama = RM45) so, kurang RM10

Jika dalam seminggu :
Insentif pesanan = RM35 x 7 = RM245 (Dalam sistem gaji lama = RM315), so kurang RM70

Jadi, macam mana rider nak dapatkan gaji yang setanding seperti gaji lama??!
Jawapannya adalah rider kena tingkatkan jam bekerja dari kebiasaan 5 jam kepada lebih kurang 8.5 jam sehari.
Katakan jika rider sudah biasa bekerja 5 jam sebelum ini dari pukul 10 pagi hingga 3 petang (dalam sistem lama), lepas ni rider kena bekerja dari 10 pagi hingga 6.30 petang. Kalau dikekalkan seminggu 8.5 jam ni, rider akan dapat bonus RM100 setiap minggu.

Jadi, apa kesimpulannya dalam sistem penggajian baru?! Anda dah nampak belum?!
Kesimpulannya ada 2 :
Pertama : Rider akan dapat gaji lebih rendah (kerana tiada bayaran asas)
Kedua : Untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi seperti masa sistem gaji lama, rider kena bekerja lebih masa. Kalau nak lebih lagi, kerja dalam masa 11 malam hingga 9 pagi sebab ada bonus RM1/pesanan.

Seolah-olah rider dipaksa/ditindas untuk kerja lebih masa.
Kesannya, rider mogok. Habis masuk tong sampah jadi pink.


Kesimpulan
Perkhidmatan ini membuka ruang kepada rakyat tempatan untuk memperolehi wang perbelanjaan. Rider ni dia sanggup hantar makanan untuk pelanggan walaupun berdepan risiko. Masa hantar makanan tu, pelbagai risiko boleh berlaku seperti kemalangan dan lain-lain. Yalah, mereka nak hantar makanan segera untuk memastikan makanan tu sampai cepat pada pelanggan. Kadang-kadang memang mereka nak hantar cepat tetapi ada masalah lain jadi makanan tu lambat sampai, dah kena marah dengan pelanggan. Dah penat-penat hantar, bawa laju risiko kemalangan, dengan cuasa panas dan hujan, sampai je, kena marah. Jadi rider ni dalam menghadapi risko, kena hadapi juga karenah pelanggan dan mereka tetap bersabar. Saya salute sama rider.
Berkenaan isu tu, diharapkan dapat diatasi dengan segera oleh pihak Foodpanda jika mereka betul-betul prihatin dan ambil peduli dengan perkembangan Foodpanda.

Jika anda adalah pembeli, saranan saya jika betul-betul tak boleh nak keluar rumah beli makanan, gunalah Foodpanda ini atau mungkin anda ada perkhidmatan yang lain yang anda lebih suka, itu mengikut selera masing-masing. Jika makanan lambat sampai, mungkin ada sedikit masalah masa penghantaran jadi simpanlah marah tu. Sama-sama kita jadi pembeli yang bijak.

Jika anda ada sebarang info lain nak dikongsi, boleh tinggalkan komen.
Jumpa lagi.

Font Awesome 5 Icons

0 Comments