Assalamualaikum

Pada 23-Oktober-2019 yang lepas telah diadakan satu seminar yang bertajuk "Fiqh Mu'asarah :Umat Akhir Zaman". Ia bermula dari pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 2.00 petang. Sebelum menyertai seminar ini, para hadirin perlu mendaftar diri di dalam web yang telah disediakan. Web tersebut telah diviralkan melalui aplikasi WhatsApp beberapa minggu sebelum upacara berlangsung.
 
Seminar ini telah diadakan di Dewan Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) yang terletak di Paroi, Negeri Sembilan. Dewan ini hanya dapat menampung jumlah hadirin seramai 400 orang sahaja. Bagi mengelakkan kesesakan di dalam dewan, seperti yang telah dinyatakan, pihak penganjur telah viralkan web bagi 400 orang peserta pertama yang berdaftar bagi memenuhi ruang dalaman dewan. Seminar ini adalah terbuka dan percuma. Makanan (sarapan dan tengahari) disediakan oleh pihak penganjur.





Menunggu ketibaan penceramah
Pengerusi majlis mengambil bahagian dalam mengemudi majlis
 
Di hari berlangsungnya seminar tersebut, tidak dijangkakan bahawa seminar ini telah mendapat sambutan yang begitu hangat sehingga hadirin yang hadir jumlahnya lebih daripada 400 orang. Dari segi pemerhatian, para hadirin kebanyakannya adalah dari kaum wanita dan sedikit dari kaum lelaki dan umur adalah dalam julat antara 30 hingga bawah 60 tahun. Memandangkan program ini diadakan pada hari waktu bekerja (Rabu) kebanyakan daripada para hadirin adalah status bersara.


Suasana di dalam Dewan Kompleks Belia dan Sukan Paroi
Para hadirin yang hadir meluangkan masa untuk mendengar ceramah
Suasana di dewan di sebelah kiri


Program ini adalah anjuran bersama :
  • Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS)
  • Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (PBmaINS)

Bagi mengisi seminar ini dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat, dua penceramah telah diundang bagi menyampaikan ceramah. Dua penceramah tersebut adalah :

  • Ustazah Asma Harun
  • Ustaz Abdul Halim Din

Ustazah Asma Harun adalah seorang penceramah bebas dan berasal daripada Kuala Terengganu. Beliau berpengalaman bekerja di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mula bekerja di Negeri Sembilan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pada tahun 2008 hingga 2017 sebelum mengambil keputusan menjadi penceramah bebas bermula tahun 2017 hingga kini. 




Ustazah Asma Harun sedang menyampaikan ceramah

Pengisian yang disampaikan oleh Ustazah Asma amat menyentuh jiwa para hadirin dengan gaya percakapan dan seni penyampaian yang memukau. Ceramahnya bercampur jenaka yang mencuit hati para hadirin menyebabkan para hadirin ketawa. Ceramahnya juga mengandungi kata-kata nasihat yang membuatkan kita tersentak dan serta merta dapat kita muhabasah diri. Dalam program ini, ustazah diberi tajuk ceramah Umat Akhir Zaman dan ceramah beliau berlangsung pada sesi pertama bermula lebih kurang pukul 9 pagi dan berakhir pada pukul 11 pagi.
 
 
Ustaz Abdul Halim Din adalah seorang penceramah/pendakwah yang berasal dari Ipoh. Beliau adalah mantan Ketua Unit Dakwah Lembaga Zakat Selangor pada tahun 2015. Beliau pernah muncul di kaca TV sebagai panelis Rancangan Tanyalah Ustaz di TV9, Bismillah TV3, Al Kuliyyah TV3 dan Al Hidayah TV3. Beliau pernah muncul di Motivasi Pagi Radio di IKIM. Beliau berpengalaman dalam berdakwah di UK, Eropah dan Timur Tengah selama 9 tahun.


Ustaz Abdul Halim Din sedang menyampaikan ceramah

Gaya percakapan yang tegas dan pertuturan yang teratur memukau para hadirin dan para hadirin memahami apa yang disampaikan oleh penceramah. Sebahagian daripada isi ceramahnya terselit jenaka yang membuatkan tidak kering gusi mendengarnya. Nasihat yang berguna dalam pengurusan harta dan status harta pada kita semua membuatkan para hadirin dapat muhasabah diri dan berhati-hati dalam memperolehi dan membelanjakan harta pada jalan yang betul dan halal. Ceramah beliau berlangsung pada sesi kedua dengan tajuk yang diberi berkenaan dengan "Harta"


Paparan slide digunakan semasa ceramah berlangsung


Sepanjang berjalannya seminar ini, para hadirin disaji dengan 2 kali acara cabutan bertuah. Pemenang diganjarkan dengan hadiah. Acara cabutan bertuah diadakan pada pertengahan program dan yang kedua diadakan pada hujung program. Diluar dewan didirikan khemah bagi para hadirin mnjamu selera (sarapan dan tengahari) dan juga bagi menampung para hadirin yang tidak mendapat tempat duduk di dalam dewan kerana penuh memandangkan jumlah hadirin yang hadir melebihi 400 orang.

Para hadirin mendapat manfaat daripada isi-isi ceramah yang disampaikan oleh 2 penceramah terkenal tersebut. Manusia mudah lupa kepada penciptaNya dan tingkah lakunya di kebanyakan hari banyak menyusul kepada maksiat dan dosa. Manusia perlu kepada bimbingan dan tunjuk ajar serta nasihat dan peringatan secara berterusan agar kita sentiasa ingat dan berjaga-jaga dalam tingkah laku dan perbuatan dan supaya kita beringat yang dunia ini hanya sementara. Hala tuju tempat kita yang terakhir adalah di akhirat sana.

Semoga majlis yang sebegini dapat diadakan di waktu yang lain dan mendapat rahmat dan ampunan Ilahi.

*Saya (penulis) adalah salah seorang dari para hadirin yang hadir dalam seminar tersebut. Saya merasakan intipati ceramah amat memberi kesan dalam jiwa saya dan in sha Allah pada para hadirin yang lain.

Font Awesome 5 Icons

0 Comments