Assalamualaikum

Memang cantik, indah, mempersona dan rekaan seperti masjid di Timur Tengah, itulah pandangan beberapa orang yang telah berkunjung ke Masjid Sri Sendayan yang terletak di Sendayan Negeri Sembilan. Bagi mereka yang menetap di Sendayan dan yang berdekatan dengannya, tidak menjadi masalah untuk berkunjung selalu tetapi bagi yang tinggal di luar Negeri Sembilan, anda boleh luangkan masa di hujung minggu untuk melihat sendiri suasana dan keunikan struktur masjid yang mula dibina pada tahun 2015 ini.

Dari segi struktur pembinaan, masjid ini layak diberi gelaran seperti masjid-masjid yang terdapat di Negara Timur Tengah dan mungkin Taj Mahal. Saya (penulis) sendiri sempat berkunjung ke masjid ini pada hujung minggu setelah ia menjadi viral tentang kecantikan dan keunikannya yang tidak sama seperti masjis-masjid lain yang terdapat di Malaysia.

Setibanya saya di masjid berkenaan, saya tidak melepaskan peluang mengambil gambar dari setiap sudut kawasan perkarangan masjid luar dan dalam untuk saya sajikan kepada para pembaca sekalian. Berikut adalah gambar-gambar yang sempat saya ambil.
Pada mulanya, saya mengambil gambar dari kawasan parking kereta. Jika dilihat dari luar, seperti sedang berada di Madinah.



Gambar diambil dari tempat letak kereta


Berjalan terus masuk ke dalam, anda akan memasuki kawasan perkarangan luar masjid dimulai dengan dewan-dewan. Antara pintu masuk yang sempat saya snap adalah pintu masuk pejabat pentadbiran dan dewan serbaguna. Terdapat papan petunjuk arah bagi kegunaan jemaah.



Papan tanda penunjuk arah dalam kawasan masjid


Pintu masuk pejabat pentadbiran


Pintu masuk dewan serbaguna


Selepas melepasi kawasan dewan, anda akan melihat kawasan luas seperti di bawah.



Pemandangan di perkarangan luar masjid

Pemandangan di perkarangan luar masjid. Laluan panjang itu merupakan laluan tanpa kasut



Tempat mengambil wuduk


Saya sendiri mengambil wuduk di tempat mengambil wuduk seperti dalam gambar. Untuk pengetahuan, kepala paip adalah manual seperti biasa dan bukan auto seperti dalam masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah yang terletak di Shah Alam.
Apabila anda masuk terus ke dalam, anda akan berada dalam satu kawasan seperti di bawah sebelum memasuki dewan utama solat. Pintu masuk solat wanita terdapat di bahagian kanan dan kiri sedangkan pintu dewan solat utama adalah terus menuju ke hadapan.


Perkarangan dalam masjid (luar dari dewan solat)
Pintu masuk dewan solat wanita

 Jika anda terus lagi ke depan, anda hampir ke dewan masuk solat kedua.


Pintu masuk dewan solat kedua


Pemandangan di dalam dewan solat kedua

 Dan akhir sekali anda memasuki dewan solat utama seperti dalam gambar di bawah.


Pemandangan di dalam dewan solat utama

Pemandangan di dalam dewan solat utama

Di masjid ini terdapat 3 dewan solat :
  • Dewan solat utama yang boleh menampung 3000 jemaah.
  • Dewan solat kedua yang boleh menampung 800 jemaah.
  • Dewan solat wanita yang boleh menampung 800 jemaah.

Berikut adalah beberapa fakta mengenai Masjid Sri Sendayan :
  1. Mula dibina pada tahun 2015.
  2. Kos pembinaan lebih dari RM 100 juta.
  3. Boleh memuatkan 5000 jemaah.
  4. Berkeluasan 4.5 hektar.
  5. Terletak dari 10 km daripada Seremban.
  6. Merupakan masjid yang terbesar di Negeri Sembilan.
  7. Diwakafkan oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
  8. Hasil seni dan arkitek yang dibawa dari luar negara Mesir, India, Turki, Dubai, China dan Maghribi.
  9. Dilengkapi dengan dewan serbaguna, perpustakaan, bilik pengurusan jenazah, bilik kuliah, bangunan pentadbiran, dewan makan, 6 buah rumah untuk petugas masjid dan pusat anak-anak yatim.

Masjid ini adalah hasil wakaf daripada Tan Sri Abdul Rashid Hussain iaitu pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB. Sebelum ini beliau juga telah mewakafkan bagi pembinaan Masjid Hussain yang terletak di Seremban 2. Masjid Hussain juga dikenali sebagai Masjid Putih dan kos pembinaannya adalah RM22.6 juta. Ia dibina pada tahun 2012. Jika anda tidak tahu yang mana satu Masjid Hussain (Masjid Putih) ini, ia terletak bersebelahan dengan City Park S2. Jika anda pernah pergi ke City Park S2, sudah pasti anda akan dapat melihat Masjid Hussain.


Masjid Hussain (Masjid Putih) yang terletak di Seremban 2 adalah juga masjid yang diwakafkan oleh Tan Sri Abdul Rashid

Tuan Haji Zailan (seorang kontraktor) adalah insan yang terlibat dalam memberikan idea bagi rekaan dalaman Masjid Sri Sendayan. Jika anda masuk ke dalam dewan solat utama, anda akan dapati ukiran yang begitu cantik dan mempesona di dinding-dinding dalam masjid. Kubahnya diambil dari India dengan menggunakan gold paper 24K. Ini juga sama seperti pintu dan kayu kubah yang mana ia juga diambil dari India.
Untuk pengetahuan anda, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berniat menamakan masjid ini dengan Masjid Rashid Sri Sendayan tetapi niat itu telah berubah dan digantikan dengan nama yang sekarang kita dengar iaitu Masjid Sri Sendayan. Tidak pasti apa punca pertukaran nama itu berlaku dan mungkin beliau mempunyai sebab tersendiri. Itu tidak menjadi masalah, yang penting niat beliau bagi mendirikan masjid yang paling besar di Negeri Sembilan ini tercapai.


Tan Sri Abdul Rashid Hussain (Pengasas Syarkat Perbankan Kumpulan RHB)


Kerana kecantikan dan keunikan masjid ini, pihak masjid telah menerima banyak permintaan dari keluarga pengantin untuk melaksanakan upacara ijab kabul. Tidak hairan mengapa semasa saya tiba di perkarangan masjid ini, saya ternampak pengantin sedang berlegar di perkarangan. Ini menunjukkan bahawa ramai di antara pasangan pengantin memilih masjid ini sebagai lokasi upacara ijab kabul mereka. 
In sha Allah, bagi mereka yang belum pernah ke Sendayan, boleh kunjung masjid ini bersama keluarga dan pada masa yang sama dirikanlah solat di dalam nya.
Font Awesome 5 Icons

0 Comments